Memaparkan catatan dengan label Keibubapaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keibubapaan. Papar semua catatan

Isnin, 27 Disember 2021

JOM KENAL ANAK LELAKI KITA

Kanak-kanak lelaki usia 6-13 tahun akan mula alami perubahan ketara. 

1) Timbul karakter yang lebih maskulin.
- suka main lawan-lawan
- suka buat bising
- suka bergusti
- tiru aksi superhero

2) Tertarik kepada lelaki lain yang lebih dewasa. 
Boleh jadi ayah, pakcik, datuk atau saudara lelaki yang lain.

Pada usia 6-13 tahun, ayah menjadi lebih penting di mata anak lelaki.

Anak mula berminat untuk belajar bagaimana untuk menjadi seorang lelaki.

Di sinilah dia akan tercari-cari siapakah idola lelaki dewasanya.

Jika lelaki dewasa itu ialah ayahnya, dia akan mula mendekati, belajar dan meniru setiap kelakuan si ayah.

Seolah-olah dia memuat turun “software” dari ayahnya dan masuk ke dalam otak kanak-kanak lelaki tu.

Pada waktu ni, secara fitrahnya dia bersedia untuk belajar dan mendengar kata-kata dari ayah.

Inilah peluang terbesar seorang ayah untuk mempengaruhi diri kanak-kanak lelaki. 

Asas kepada ciri-ciri maskulin seorang kanak-kanak lelaki juga dibina pada waktu ni.

Inilah masanya untuk ayah “Make Time” atau meluang lebih masa dengan anak lelaki. 

Contohnya : 
- bermain di sekitar rumah atau di padang permainan.
- jalan berdua bersama.
- bercakap tentang kehidupan.
- bercerita tentang kehidupan diri sendiri semasa masih kecil.

Pada usia begini, ayah perlu mainkan peranan supaya dia lebih mudah didekati oleh anak. 

Kalau ayah tak ada dalam hidup anak, dia akan mencari lelaki dewasa lain sebagai idolanya.

Bantu saya #sebarkan ilmu ni pada mak ayah yang lain. 

Ini ilmu yang sangat mahal.

Kredit kepada  Dr Redza Zainol di atas perkongsian ini. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam



 

Isnin, 20 Disember 2021

WAHAI PEMUDA, JAGALAH PANDANGAN

Nabi SAW bersabda,

يَا عَلِيُّ لا تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Bermaksud: Wahai Ali, jangan kamu ulangi satu pandangan dengan pandangan (yang lain). Ia bagimu untuk yang pertama tetapi bukan yang seterusnya. 

Hadith ini diriwayatkan oleh Buraidah Bin Hasib Al-aslami dan dicatatkan di dalam At-Tirmidzi (No. 2701) dan Abi Daud (No. 1837) di dalam Sunan-sunan mereka. Kedua-duanya dinilai sahih oleh Al-Albani. 

Al-Mawardi menyatakan bahawa ada dua jenis pandangan yang perlu dijaga iaitu (1) pandangan mata kasar pada perkara yang dilarang dan (2) pandangan hati daripada lintasan-lintasan mazmumah dan niat-niat mungkar. 

Sungguh deria mata adalah satu-satunya deria sensitif yang sekiranya tidak dijaga dengan baik boleh membawa kepada kemudaratan. 

Hadith ini bukan ruang untuk bersenda gurau dengan berkata sekiranya terpandang perkara haram maka jangan dipalingkan muka dan nikmatilah pandangan tersebut kerana ia adalah pandangan pertama. Awas dengan kata-kata tersebut. Semestinya kita perlu segera mengalihkan pandangan sekiranya terpandang perkara haram. 

Jom sama-sama kita membentuk diri kita dengan menjaga pandangan selari dengan apa yang diperintahkan Rasulullah SAW. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam



 

Isnin, 13 Disember 2021

KASIH IBU KEKAL BERSAMA

  جَاءَتْنِي مِسْكِينَةٌ تَحْمِلُ ابْنَتَيْنِ لَهَا، فأطْعَمْتُهَا ثَلَاثَ تَمَرَاتٍ، فأعْطَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ منهما تَمْرَةً، وَرَفَعَتْ إلى فِيهَا تَمْرَةً لِتَأْكُلَهَا، فَاسْتَطْعَمَتْهَا ابْنَتَاهَا، فَشَقَّتِ التَّمْرَةَ، الَّتي كَانَتْ تُرِيدُ أَنْ تَأْكُلَهَا بيْنَهُمَا، فأعْجَبَنِي شَأْنُهَا، فَذَكَرْتُ الذي صَنَعَتْ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ، فَقالَ: إنَّ اللَّهَ قدْ أَوْجَبَ لَهَا بهَا الجَنَّةَ، أَوْ أَعْتَقَهَا بهَا مِنَ النَّارِ.

A'isyah r.a. telah berkata, 

Telah datang seorang wanita miskin dengan membawa dua orang anak bersamanya, maka aku telah memberikan mereka makan dengan tiga biji kurma. 

Maka dia pun telah memberikan setiap seorang anaknya satu biji kurma. Dan dia mengambil satu biji lagi untuk dimakannya. 

Kedua-dua anaknya meminta lagi, maka dibelahkan kurma yang ingin dimakannya kepada kedua-dua anaknya. 

Maka aku takjub dengan keadaan tersebut. Lantas aku menceritakan kepada Rasulullah SAW apa yang berlaku, maka Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadanya syurga dengan apa yang dilakukan, atau menjauhkannya dari neraka. 

Hadith  Ummul Mukminin A'isyah r.a. diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, halaman 2630 dan dinilai sahih oleh para ulama hadith. 

Kehendak anak-anak sentiasa menjadi keutamaan berbanding keperluan peribadi si ibu dan ini berlaku kerana adanya kasih sayang.

Ia bukannya satu tindakan buat-buat tetapi ia lahir dengan adanya perasaan kasih sayang. 

Kemiskinan dan kepayahan adalah bukan halangan untuk memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. 

Kasih sayang si ibu yang tidak berbelah bahagi menyebabkan Allah membalasnya dengan syurga iaitu sebaik-baik ganjaran. 

Kasih sayang si ibu mendapat ganjaran dengan dianugerahkan dengan kasih sayang Ilahi. 

Jom menjadi #ibuayah24jam yang terbaik.



 

Isnin, 6 Disember 2021

JANGAN MEMBENCI ISTERI KITA

Nabi SAW bersabda,

  لاَ يَفْرَك مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَة إِنْ كَرِه مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَر، أو قال: غَيرُ

Bermaksud: Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Sebab, bila ada satu hal yang dibencinya (dari isterinya itu) boleh jadi ia redha pada hal lainnya.

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam Sahih Muslim muka surat 1469 dan dinilai sebagai sahih. 

Ia menjelaskan bahawa seorang suami tidak boleh untuk TIDAK MENYUKAI isterinya disebabkan oleh satu kekurangan yang dimiliki isterinya kerana di sana ada banyak lagi kebaikan-kebaikan yang dimiliki oleh si isteri yang pada hakikatnya adalah disukai dan diredai oleh si suami. 

Lumrah alam, apabila ada berlaku benda yang tidak disukai maka nafsu amarah menguasai diri. Pada waktu itu, mata amarah hanya nampak keburukan sehinggakan segala kebaikan yang dimiliki hilang tersembunyi. Kesedaran pada kebaikan hanya hadir kembali setelah amarah tersebut menghilang.

Sheikh Khalid Bin Uthman As-Sabt menyatakan bahawa para ulama secara umumnya bersetuju bahawa hadith ini adalah bersifat larangan. Larangan kepada suami yang tidak dapat melihat kebaikan isterinya disebabkan kekurangan yang dimiliki oleh isterinya itu. Beliau juga menyatakan bahawa hadith ini juga terguna pakai kepada kaum wanita kepada suami mereka.

Dengan kata lain, harmonikanlah rumah tangga kita dengan melihat segala yang baik dan positif. Maafkanlah di atas segala kekurangan kerana di samping kekurangan sentiasa ada kelebihan.

Harmonikan rumahtangga dengan mengharmonikan hubungan sesama suami dan isteri.

Dapatkan e-book '24/7 Menjadi Ibu Bapa Terbaik' #ibuayah24jam

Klik:



 

Isnin, 29 November 2021

MERAHMATI YANG MUDA DAN MENJAGA HAK YANG BERUMUR

ليسَ منَّا مَن لَم يرحمْ صغيرَنا ويعرف حقَّ كبيرِنا

Telah bersabda Rasulullah SAW:

Tidak termasuk golongan kami, orang yang tidak menyayangi anak-anak kecil di antara kami, dan tidak menghormati hak orang-orang tua di antara kami. 

Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar dan dicatatkan Al-Munziri di dalam kitabnya At-Targhib Wal At-Tarhib Juzuk pertama halaman ke 90. Sanadnya dinilai sahih atau hasan atau apa-apa yang hampir dengan kedua-duanya. 

Hadith ini menyatakan bahawa sesiapa yg mempunyai hati keras yang tidak merahmati anak-anak kecil dan tidak menghormati hak orang-orang tua adalah tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada golongan Rasulullah SAW. 

Anak-anak kecil dan orang-orang tua perlu dirahmati kerana kelemahan mereka. 

Kerahmatan orang dewasa kepada anak-anak kecil akan memberi bekas dan kesan yang lama kepada mereka. Begitu juga dengan kekerasan, ia bakal diingati hingga mereka dewasa. 

Manakala orang dewasa dirahmati kerana pengalaman, kemuliaan dan kelemahan tubuh badan mereka. Ia juga membuktikan ketinggian akhlak dan ilmu yang dimiliki oleh kita. 

Itulah pesanan Rasulullah SAW berkenaan adab kita dengan anak-anak kecil dan juga orang-orang tua. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam



 

Isnin, 22 November 2021

3 DOA YANG TIDAK DITOLAK

 ثلاثُ دَعَواتٍ مُستَجاباتٌ لا شَكَّ فيهِنَّ: [دعوةُ المَظْلومِ]، ودعوةُ المُسافِرِ، ودعوةُ الوالِدِ على وَلَدِه.

Hadith Rasulullah Saw  ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Dicatatkan di dalam kitab Al-Kaba'ir halaman 184. Hadith ini dinilai sebagai sanadnya kuat oleh Az-Zahabi dan dinilai sahih oleh Ibn Hibban di dalam kitab sahihnya.

Hadith ini bermaksud: "tiga doa mustajab yang tidak diragui padanya (utk diperkenankan) iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang musafir dan doa ayah (ibu) ke atas anaknya" 

Rasulullah SAW mengajar kita tentang peringatan-peringatan ini.

Ini adalah peringatan kepada kita utk tidak sesekali menzalimi orang lain kerana orang yang dizalimi mempunyai satu senjata yang mungkin kita tidak sedari iaitu doa' yang mustajab. Andai dia marah dan sakit hati dengan kita maka dia berdoa dengannya, sungguh itu adalah malapetaka bagi kita. 

Kedua ialah orang yang musafir dengan niat yang baik. Doa mereka juga termasuk dlm kategori yang mustajab maka ambil peluang tersebut utk berdoa dan terus berdoa. 

Ketiga ialah doa ayah juga ibu kepada anak-anaknya. Ini termasuk doa-doa negatif yang mungkin dipanjatkan oleh ibu ayah kepada anak-anaknya yang derhaka.

Ia suatu peringatan kepada anak-anak agar tidak menderhakai kedua ibu ayah mereka. Juga peringatan kepada ibu ayah utk mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah. Pada masa yang sama, peringatan juga bagi ibu ayah agar lebih santun dan tertib serta tidak cepat mendoakan keburukan kepada anak-anak disebabkan kekecewaan peribadi. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 15 November 2021

WANITA SOLEHAH SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA

الدُّنيا متاعٌ وخيرُ متاعِها المرأةُ الصَّالحةِ

Bermaksud: Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah

Hadith ini diriwayatkan di dalam Mukhtasar Al-Maqasid halaman 466 diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru. Ia dikira sahih oleh Az-Zarqani

Dunia secara keseluruhannya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan di dalam dunia ini ialah wanita solehah. 

Ini bermakna wanita mempunyai tempat utama dalam Islam dengan syarat mereka adalah taat kepada Allah dan Rasulnya serta amat menjaga agamanya. 

Menjadi solehah adalah syarat untuk terpilih sebagai yang terbaik. Ia tidak terjadi dengan sendiri sebaliknya perlu diusahakan. 

Jom berusaha para ibu, kakak, anak-anak dan adik-adik sekelian. Berusaha ke arah kesolehan beragama. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 8 November 2021

APA DIA AL-HANAFIYYAH AS-SAMHAH?

أَحَبُّ الدِّينِ إِلَى الله الْحَنِيفِيَّةُ السَّمْحَةُ

Bermaksud: Agama yang paling dicintai oleh Allah adalah Al-Hanifiyyah As-Samhah (yang lurus lagi mudah)

Hadith ini diriwayatkan di dalam kedua-dua kitab sahih (sahihain) iaitu Sahih Al-Bukhari dan Muslim). Ia dikenali sebagai hadith mu’allaq kerana pada awal bahagian sanadnya dibuang. Biasanya hadith mu’allaq adalah tertolak, namun kerana hadith ini disebut di dalam kedua-dua sahih maka ulama memperincikannya dengan penelusuran sanad. Bagi hadith ini, darjatnya ialah Sahih kerana terdapat banyak hadith-hadith lain yang menjadi penguat. Antaranya ialah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dari jaluran Yazid.

Hadith ini menceritakan ciri-ciri agama Islam yang bersifat lurus dan mudah. Ia adalah agama yang lurus dalam membina keyakinan dan mudah untuk diamalkan. Kerana itu, Islam adalah merupakan agama yang diredhai Allah untuk kita anuti.

Islam adalah bukan agama kerahiban yang menjauhkan dunia daripada kehidupan beragama. Sebaliknya dunia adalah tempat diikhtiarkan manusia untuk mendapatkan sebanyak mungkin kebaikan demi memperolehi keredhaan Allah.

Jom melatih anak-anak sebanyak mungkin tentang agama yang lurus lagi mudah ini.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 1 November 2021

JANGAN DISIA-SIAKAN KEHIDUPAN ANAK-ANAK

كفى بالمرءِ إثمًا أنْ يُضيِّعَ مَن يقُوتُ

Bermaksud: Berdosalah seseorang yang mensia-siakan orang yang dijaga

Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru, dicatatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sahih Ibnu Hibban (hal. 4240) dan berstatus sahih.

Ia adalah catatan jelas bahawa ibu ayah bertanggungjawab penuh di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.

Potensi yang dimiliki oleh anak-anak kita tidak boleh disia-siakan dengan membiarkan tanpa ada usaha agar ia bermanfaat. Setiap anak-anak mempunyai potensi tersendiri yang mungkin kita sedar ataupun tidak. Potensi tersebut yang perlu diasah agar ia tidak tersia-sia.

Membiarkan anak-anak tanpa asuhan agama juga termasuk dalam aktiviti sia-sia. Tiada yang lebih utama di dalam kehidupan ini kecuali untuk mengarahkan diri kita dan anak-anak kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 25 Oktober 2021

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ بيْنَ أَصَابِعِهِ.

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Ash’ari, dicatatkan di dalam Sahih Al-Bukhari (hal. 2446) dan berstatus sahih.

Ia bermaksud “Seorang Mukmin dengan Mukmin (yang lain) seperti binaan-binaan yang memperkuatkan satu sama lain (lalu Rasulullah SAW) menggabungkan jari-jarinya”

Hadith ini menerangkan betapa pentingnya untuk kita para Muslimin bersatu padu kerana dengan bersatu padulah maka kita akan menjadi kuat. Kita akan menjadi saling kuat menguatkan dan lengkap melengkapkan di antara satu sama lain.

Dalam konteks kekeluargaan pun begitu juga, untuk menjadi keluarga yang teguh dan kukuh maka setiap individu di dalam keluarga hendaklah berusaha ke arah kesatuan. Sungguhpun mana ada lidah yang tidak pernah tergigit namun usaha ke arah kesatuan mesti sentiasa dilakukan.

Hadith ini selari dengan pepatah Melayu, ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’. 

Ibu ayah perlu menjadi pemangkin kepada punca kesatuan. Bertindak sebagai magnet bagi menarik dan gam untuk menjadi kejap. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 18 Oktober 2021

MENJADI TUA BUKAN UNTUK DIBUANG

Hari ni kita dikejutkan dengan perkongsian ciapan oleh Lembaga 2akat 5elangor. Kisah seorang ibu berusia berkerusi roda ditinggalkan di tepi jalan dengan bekalan lampin buang dan pakaiannya.

Alhamdulillah sikap prihatin orang kita dan tindakan tepat dengan menghubungi LZ5 membolehkan ibu berusia ini ditempatkan di pusat jagaan orang tua. 

Bersangka baik dengan kejadian, mungkin mereka juga diberi ujian yang kita tidak tahu menyebabkan mereka bertindak sedemikian rupa. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadikan tindakan tersebut sebagai halal.

Ibu ayah ketika mudanya kuat dan apabila sampai waktunya bertukar menjadi lemah. Ibu ayah ketika mudanya dipertanggungjawabkan mendidik, membesarkan dan menjaga anak-anak. Apabila tiba masanya, anak-anak pula dipertanggungjawabkan untuk hanya menjaga ibu ayah.

Jika ibu ayah, padanya ada 3 tanggungjawab maka selesai disempurnakannya. Namun anak-anak hanya tinggal 1 tanggungjawab namun banyak tertinggal d’outsource’.

Sungguh pada ibu ayah itu terdapat banyak kebajikan. Senyumnya satu kebajikan, tenangnya satu kebajikan, mempermudahkannya satu kebajikan dan segala-galanya berkenaan ibu ayah adalah kebajikan.

Sungguh ibu ayah yang sudah berusia boleh menjadi penyebab kepada peluang kita memperolehi syurga Allah SWT.

Ingat pesan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim sebagaimana diceritakan oleh Abu Hurairah RA dengan maksudnya:

‘kehinaan, kehinaan, kehinaan, Baginda ditanya ‘Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab ‘Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga’

Dikala ini, ingatkan diri kita dan juga anak-anak bahawa ini adalah ujian dan juga peluang, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik mungkin.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 11 Oktober 2021

MENGAJAR DIRI BERTAUBAT

Tidak ada seorang pun yang sempurna yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Baik seorang ayah, ibu mahupun anak-anak. Lazimnya ia berlaku kerana sifat dan sikap kita baik secara sengaja mahupun tidak. Secara terpaksa mahupun sukarela.

Sering berlaku penyesalan atas kesilapan dan kesalahan tersebut. Ada orang kata ‘just move on’, ‘let it go’, dan buang yang keruh ambil yang jernih. Ada mereka yang tidak dapat bertahan dengan perasaan tertekan tersebut mengambil jalan kiri dengan mencederakan diri dan ada yang menamatkan riwayat hidup sendiri.

Sungguh Islam memberi penyelesaian kepada perkara ini iaitu dengan pintu taubat. Dibuka seluas-luasnya hinggakan tiada dosa pun yang tidak diampunkan Allah kecuali dosa syirik dan menyekutuiNya. Itupun ruangan untuk kembali kepada Islam sentiasa terbuka tanpa had. Itulah tanda kebesaran Allah yang pada asma’Nya ialah Al-Ghafur dan Al-Afw.

Islam sentiasa mengiktiraf manusia yang padanya ada kesilapan dan kesalahan. Namun yang terbaik dikalangan mereka ialah yang sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah yang bermaksud 'setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka yang salah adalah yang bertaubat'. 

Kita perlu mengajar diri kita dan anak-anak untuk bertaubat kepada Allah kerana:

  • Itulah bekal bagi membolehkan kita dan anak-anak meneruskan hidup kita dengan baik sungguhpun kita pernah dan sentiasa melakukan kesalahan. 
  • Memberikan keyakinan bahawa Allah sayang kita walaupun pernah melakukan kesalahan. 
  • Agar kita sedar dan tahu bahawa 'permohonan ampun dengan Allah' adalah tanpa had. 
  • Itulah harapan bagi menjadi baik dan terus menjadi baik. 
  • Menjauhkan diri kita dan anak-anak daripada aura penyesalan, putus harapan dan hilang semangat. 

Ingatkan bahawa Allah sentiasa ada dan sentiasa kekal menerima taubat hambanya. 

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam 




Isnin, 4 Oktober 2021

JANGAN BERLUCAH

Lucah bukan perkara lawak. Bukan untuk bersenda gurau dan bukan untuk menghias kehidupan.

Lucah tidak boleh ada pada ceramah, tutur kata, mahupun apa-apa medium pendidikan.

Bahasa lucah tidak boleh digunakan oleh sesiapa pun dia sama ada ayah, ibu, cikgu, ustaz, penceramah dan siapa sahaja.

#ibuayah24jam

Menjadi ibu bapa terbaik.



 

Isnin, 27 September 2021

TAK BOLEH LAWAN KITA KAWAN

Cabaran gajet dan handphone adalah antara benda yang banyak dikongsi oleh ibu ayah. Ia menjadikan anak hilang tumpuan kepada pelajaran, anti sosial, tidak mempunyai akhlak yang baik, dunia tanpa sempadan, pendedahan kepada unsur-unsur tidak bermoral dan banyak lagi. 

Pendek kata kalau disenaraikan memang tidak habis.
 
Jadi, ada dikalangan kita ibu ayah yang mengambil keputusan untuk menjauhkan cabaran ini daripada anak-anak. Agar dengan tidak membuka peluang tersebut maka risiko cabaran dpt dikurangkan.
 
Walau bagaimanapun, dengan cabaran Covid-19 dan PKP, gajet dan handphone telah menjadi lesen besar utk anak-anak mempunyai capaian tersebut.
 
Alasan persekolahan atas talian lah yang menjadi isu utama. Sekiranya masih tidak dibenarkan maka anak-anak boleh ketinggalan dalam pelajarannya. Dan ini adalah tidak boleh berlaku.
 
Dalam teknik strategi katanya 'jika kita tidak kuat untuk berlawan maka berkawanlah'. Jika kita sudah tidak boleh untuk menolak teknologi ini maka carilah manfaat-manfaat yang boleh dibuat bagi menambahkan kebaikan kepada agama dan pelajaran anak-anak. 

Benar teknologi ini bukan seluruhnya negatif, banyak juga manfaat yang boleh diperkenalkan kepada anak-anak dlm teknologi ini. 
Antaranya yang mesti ada ialah:

  1. Al-Quran
  2. Arah kiblat dan waktu solat
  3. YouTube ceramah agama dan pengisian bermanfaat
  4. Aplikasi yang bercirikan manfaat.
 
Selebihnya ialah peranan ibu ayah dalam mengawal penggunaan gajet dan handphone tersebut. Perlu dibenarkan namun dengan kawalan.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam




Isnin, 20 September 2021

MALU ITU PERLU

Malu itu adalah sebahagian daripada iman.

Ia mencegah kita daripada melakukan sesuatu kemungkaran.

Perasaan malu membuatkan kita merasa tidak sanggup untuk melakukan sesuatu kesalahan.

Kita akan merasa malu apabila dituduh sebagai seorang yang bersalah.

Malu adalah benteng kesalahan.

#ibuayah24jam

Klik link di bawah:




Isnin, 13 September 2021

MENGAJAR ANAK BERISTIGHFAR

Benda yang sering kita ingatkan anak-anak ialah untuk melakukan kebaikan. Selepas menyuruh melakukan kebaikan maka kita akan tetap menasihatkan mereka utk kekal melakukan kebaikan.
 
Andai mereka melakukan kesilapan, maka kita akan menasihati atau ada juga yang menghukum. Dengan harapan hukuman tersebut akan mengingatkan mereka agar tidak lagi melakukan kesilapan mahupun kesalahan.
 
Jarang sekali kita mengajar mereka tentang 'istighfar' dan memohon ampun.
 
Istighfar ini sebenarnya manifestasi kepada kenal diri. Akur bahawa kita adalah manusia dan begitu juga dengan anak-anak kita. Sebagai manusia, mustahil untuk kita tidak melakukan kesalahan.
 
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah yang bermaksud 'setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka yang salah adalah yang bertaubat'.
 
Kita perlu mengajar anak-anak kita untuk beristighfar kerana:

  1. Itulah bekal bagi membolehkan anak-anak meneruskan hidup mereka dengan baik sungguhpun pernah melakukan kesalahan. 
  2. Memberikan keyakinan kepada anak-anak bahawa Allah sayang mereka walaupun pernah melakukan kesalahan. 
  3. Agar anak-anak sedar dan tahu bahawa 'permohonan ampun dengan Allah' adalah tanpa had. 
  4. Itulah harapan bagi menjadi baik dan terus menjadi baik. 
  5. Menjauhkan anak-anak dari aura penyesalan, putus harapan dan hilang semangat.
 
Ingatkan anak-anak bahawa Allah sentiasa ada dan sentiasa kekal menerima taubat hambanya.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam



 

Isnin, 6 September 2021

CABARAN SEKSUAL ANAK-ANAK KITA

Fitnah seksual bukan perkara baru. Bukan gejala yang hanya berlaku pada zaman ini. Bukan juga kerana mudahnya akses kepada perkara-perkara tidak senonoh semata-mata.
 
Bahkan fitnah ini sudah muncul lama semenjak wujudnya nafsu pada diri manusia.
 
Fitnah seksual ini amat merbahaya, menakutkan dan akibatnya menjadikan kita hilang kewarasan dan pedoman dalam hidup. Menjadi penghalang kepada kemajuan peribadi serta membantutkan perkembangan sesuatu umat.
 
Dalam perkara ini, Rasulullah SAW pernah mempalingkan pandangan sepupunya bernama Al-Fadhl Bin Al-Abbas R.A daripada memandang seorang wanita  keturunan Khats'am yang pada ketika itu ingin bertanya berkenaan agama.
 
Bila ditanya Rasulullah SAW kenapa Baginda mempalingkan pandangan sepupunya itu. Baginda menjawab 'Aku melihat ada pemuda dan pemudi, dan keduanya tidak aman daripada fitnah'.
 
Daripada peristiwa ini, ada beberapa pengajaran yang boleh kita ambil dalam mengawasi fitnah seksual ini:

  1. Menjauhi terus pandangan mata daripada sebarang yang boleh menimbulkan rangsangan seksual. 
  2. Menutup segala pintu yang boleh men'tunas'kan sebarang keinginan seksual. 
  3. Sentiasa memerhati dengan berhati-hati segala tindakan anak-anak yang bakal dan baru baligh, tidak kira lelaki mahupun perempuan. 
  4. Menjaga aib dan maruah anak-anak. 
  5. Mencuba merubah dengan tangan bagi menjauhkan segala punca kepada fitnah seksual ini.
 
Jom kita berusaha sebaik mungkin untuk memadamkan sebarang bara bagi mengelakkan sebarang api seksual daripada menyala.

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam



 

Isnin, 30 Ogos 2021

INGAT DAN INGAT

Jom kita mengingati diri kita dan anak-anak tentang penyakit-penyakit mereka terdahulu iaitu kebencian dan hasad dengki.
 
Kedua-duanya melemahkan agama dan merenggangkan jarak sesama kita. Islam menghadiahkan kita dengan satu hadiah sekiranya kita amalkan maka akan lahirlah kasih sayang sesama kita.
 
Ianya ialah menyampaikan salam sesama kita.
 
Jom kita mengingatkan diri kita dan mengajarkan kepada anak-anak kita untuk:

  1. Jangan ada rasa benci membenci
  2. Jangan ada hasad dengki 
  3. Sebarkan salam

Jom klik di sini utk dapatkan #ibuayah24jam




Isnin, 23 Ogos 2021

ANTI PEMBOHONGAN

Bohong adalah pintu keburukan. Bermulanya pecah amanah adalah datangnya dari pembohongan. Bermulanya pergaduhan adalah juga datangnya daripada pembohongan. 

Bohong menyebabkan ramai tertipu dan terpedaya. Bohong menjadikan yang benar terselindung dan yang tidak benar terserlah. 

Penting bagi kita ibu ayah mendidik anak-anak untuk kenal dan anti pembohongan. Mengajar anak bahawa tiada tipu sunat dan semua pembohongan adalah menyesakkan dan tiada manfaat. 

Di antara perkara-perkara yang perlu diingati kepada anak-anak ialah:

  1. Berkata Safwan Bin Sulaim, Rasulullah Saw ditanyakan, adakah seorang Mukmin boleh menjadi pengecut? Rasulullah SAW menjawab, ya. Ditanyakan lagi, adakah boleh menjadi bakhil?, Rasulullah menjawab, ya. Ditanyakan lagi, adakah boleh menjadi pembohong? Rasulullah menjawab tidak. 
  2. Pembohongan itu mengaibkan harga diri, menjatuhkan maruah dan menghinakan diri. 
  3. Menghalang kepada yang hak dan mencabutkan kebenaran. 
  4. Pembohongan menggagalkan kejayaan walaupun ia selamat pada awalnya. 
  5. Pembohongan mempercepatkan kepada kegagalan dan membantutkan kejayaan. 

Ingatkan kepada diri kita dan anak-anak bahawa kita Muslim adalah 'anti' kepada pembohongan. 

Klik di bawah untuk dapatkan  e-book '24/7 Menjadi Ibu Bapa Terbaik' #ibuayah24jam



 

Isnin, 16 Ogos 2021

BERSUNGGUH PADA ANAK-ANAK

Bersungguh sememangnya adalah sifir asas dalam mana-mana usaha untuk berjaya. Jarang kita dengar orang yang berjaya tidak mempunyai kesungguhan.
 
Rasulullah SAW selama 13 tahun berdakwah di Makkah dengan segala kepayahan sebelum Islam mempunyai pemerintahan sendiri di Madinah. Ini dibuat dengan segala kesungguhan.
 
Sultan Muhammad Al-Fatihah menggunakan antara 80 ribu hingga 200 ribu askar dalam membantunya menakluk Kota Constatinople dari Kerajaan Rom selama hampir 2 bulan. Ini juga dibuat dengan kesungguhan.
 
Begitu juga dengan kisah-kisah ibu ayah yang berjaya membesarkan anak-anak menjadi 'some body', Ia juga dibuat dengan kesungguhan. Kesungguhan mendidik anak, kesungguhan mendapatkan punca rezeki yg halal lagi baik, kesungguhan naik turun institusi bagi menempatkan anak ke tempat terbaik bagi pelajaran dan kesungguhan dalam segala sesuatu.
 
Begitulah apa yang perlu kita lakukan selaku ibu ayah dalam memikul tanggungjawab kita sebagai ibu ayah. Tanggungjawab yang kita pilih dan wajib untuk kita tunaikan.
 
Jom bersama kita bersungguh-sungguh menjadi ibu ayah terbaik.

Jom klik untuk dapatkan #ibuayah24jam