Isnin, 6 Disember 2021

JANGAN MEMBENCI ISTERI KITA

Nabi SAW bersabda,

  لاَ يَفْرَك مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَة إِنْ كَرِه مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَر، أو قال: غَيرُ

Bermaksud: Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Sebab, bila ada satu hal yang dibencinya (dari isterinya itu) boleh jadi ia redha pada hal lainnya.

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam Sahih Muslim muka surat 1469 dan dinilai sebagai sahih. 

Ia menjelaskan bahawa seorang suami tidak boleh untuk TIDAK MENYUKAI isterinya disebabkan oleh satu kekurangan yang dimiliki isterinya kerana di sana ada banyak lagi kebaikan-kebaikan yang dimiliki oleh si isteri yang pada hakikatnya adalah disukai dan diredai oleh si suami. 

Lumrah alam, apabila ada berlaku benda yang tidak disukai maka nafsu amarah menguasai diri. Pada waktu itu, mata amarah hanya nampak keburukan sehinggakan segala kebaikan yang dimiliki hilang tersembunyi. Kesedaran pada kebaikan hanya hadir kembali setelah amarah tersebut menghilang.

Sheikh Khalid Bin Uthman As-Sabt menyatakan bahawa para ulama secara umumnya bersetuju bahawa hadith ini adalah bersifat larangan. Larangan kepada suami yang tidak dapat melihat kebaikan isterinya disebabkan kekurangan yang dimiliki oleh isterinya itu. Beliau juga menyatakan bahawa hadith ini juga terguna pakai kepada kaum wanita kepada suami mereka.

Dengan kata lain, harmonikanlah rumah tangga kita dengan melihat segala yang baik dan positif. Maafkanlah di atas segala kekurangan kerana di samping kekurangan sentiasa ada kelebihan.

Harmonikan rumahtangga dengan mengharmonikan hubungan sesama suami dan isteri.

Dapatkan e-book '24/7 Menjadi Ibu Bapa Terbaik' #ibuayah24jam

Klik:



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan