Kita sering menganggap ibu ayah kita adalah ibu ayah yang sama semasa kita mula-mula mengenali mereka semasa kecil. Kita sering melihat mereka sebagai seorang yang boleh menyuruh, suka menegur apa yang dilihatnya tidak kena kepada diri kita dan membuat apa yang mereka ingini.
Kita jarang tersedar bahawa ibu ayah yang telah berusia adalah sebenarnya insan berbeza dan tidak sama semasa mereka membesarkan kita. Kita kekadang terlupa bahawa ibu ayah (termasuk kita juga nanti) mempunyai sekurang-kurangnya tiga fasa kehidupan:
Fasa awal kehidupan mempunyai anak. Pada fasa ini, mereka mencorakkan kita sebagaimana apa yang mereka kehendaki. Gaya berpakaian, kaedah berkomunikasi, cara hidup, cara makan dan pelbagai lagi. Hinggakan deria rasa pun banyak dipengaruhi oleh deria rasa mereka. Apa yang ibu ayah suka kita pun sering menyukai benda yang sama.
Fasa membesarkan dan mematangkan anak. Pada fasa ini, kita sudah mula faham makna ‘hendak dan mahu’. Ibu ayah pula memainkan peranan dalam menentukan ‘penting dan perlu’. Anak-anak telah diberi peluang untuk memilih dan menentukan. Ibu ayah banyak berperanan sebagai teman, kawan dan panduan. Ketika ini ibu ayah sudah mula belajar untuk ‘melepaskan’ dan memberi peluang.
Fasa anak-anak mempunyai kehidupan sendiri. Pada fasa ini, anak-anak sudah mula membina keluarga sendiri mungkin ada yang turut sudah menjadi ibu ayah pada keluarga kecil mereka. Kita mula mempunyai tanggungjawab dan peranan sendiri.
Pada fasa ketiga, ibu ayah sudah benar-benar melepaskan kita untuk memulakan hidup sendiri. Tanpa kawalan dan penentuan lagi. Pada fasa ini juga, kehidupan ibu ayah mula berkurang daripada banyak segi. Tenaga, wang ringgit dan juga kasih sayang. Jika sebelum ini, mereka mempunyai kita sebagai pelengkap namun kini tidak lagi secara sepenuhnya. Ibu ayah adalah insan berbeza pada peringkat ini berbanding masa mula-mula kita mengenali mereka.
Fasa pertama dan kedua adalah fasa ibu ayah memberi kepada kita. Memberi kebahagian, kecukupan dan kesempurnaan kepada kita. Namun fasa ketiga ialah fasa di mana fasa kita untuk memberi kepada ibu ayah. Sungguhpun mustahil untuk menyempurnakan tetapi sekurang-kurangnya berusaha sedaya mungkin untuk menjadi pelengkap kepada kekurangan yang ada pada ibu ayah.
Jom jadi anak soleh yang sayang ibu ayah.
Tulisan di atas oleh Prof.Madya Dato' Dr Mohd Izhar Ariff. Beliau baru lancarkan buku digital berpandukan Kitab Tarbiyatul Awlad.
Dan dapatkan naskhah digital dengan 100% warna warni menarik. Tak boring membacanya.
Klik:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan