Isnin, 8 Februari 2021

PEMBULIAN MESTI DIHENTIKAN

Saat itu, semua mangsa buli datang ke depan untuk mengadu. Mereka terdiri daripada murid tahun 1, 2 dan 3. Kemudian, tiba giliran seorang budak lelaki, darjah 3.

"Saya kena buli dengan kawan. Dia tolak saya sampai jatuh masa solat. Saya tak buat salah apa pun."

Astaghfirullah. Aku terus tanya adik berkenaan siapa punya angkara. Lalu, disebutlah sekian-sekian nama.

Aku terus panggil pelajar berkeaan. Mukanya cuak. Pucat lesi. Takut kena marah. Seminit kemudian, beliau dah ada disebelah aku.

"Betul ke awak buat kawan awak macam tu." Aku tanya baik-baik. Bukan nada meninggi.

Tak sempat jawab, air mata budak ini tumpah. Beliau angguk dan kata iya. Walau baru darjah 3, tapi dari raut wajah dan fizikal, dia jenis bergaul dengan budak besar. Nampak matang.

"Awak tak kesian kawan awak ke? Dia sakit tau."

Budak itu diam. Tiada jawapan. Air mata makin deras mengalir. Tiada esakan, hanya deraian.

"Kat rumah ayah awak pukul awak ke?" Tanya aku.

Dia angguk & berkata, "ya. Ayah selalu pukul saya. Dia selalu ketuk kepala saya. Sakit."

Allah! Aku pula yang jadi sebak.

"Abang, awak suka tak ayah awak buat awak macam tu?"

Beliau gelengkan kepala.

"Itulah yg kawan awak rasa. Bila ayah awak buli, mesti awak tak suka. Jadi, kenapa awak pula buli kawan? Tengok muka kawan yang awak buli kat sebelah ni, kesian dia."

Keduanya bertentang mata. Beliau menunduk.

"Awak tahu tak kenapa awak buat macam tu pada kawan?"

Geleng kepala lagi.

"Sebab ayah awak kasar dengan awak. Jadi, di sekolah awak buat masalah sebab nak perhatian cikgu. Betul kan?"

Beliau angguk. Cikgu yang berada bersama dalam program pun turut sebak.

"Sekarang saya nak awak salam kawan dan minta maaf."

Tak tunggu lama, terus sahaja beliau hulurkan tangan. Rakan yang menjadi mangsa buli menyambut salam itu.
 
"Aku minta maaf." Katanya.

Saya minta mereka berpelukan.
 
Indah sekali momen ini.
 
Sebelum adik berkenaan beredar, aku peluk dia dan berkata,

"Bang, sebenarnya ramai yang sayang awak. Jaga diri. Jangan gaduh-gaduh. Berkawan dengan semua orang ya."

Masa ni aku sebak sangat. Nak tumpah dah air mata. Tak sangka, emosi kanak-kanak berkenaan benar-benar memberi kesan kepada hati aku.

Aku harap adik ini membesar jadi budak yang baik. Beliau juga mangsa, mangsa kepada bapanya sendiri. Kesian beliau.

Sebuah pengalaman benar oleh saudara Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang diulangkongsi hari ini di laman twitter beliau.
_____

Dia jadi macam domino, yang lain jatuh atas dia, dia jatuhkan atas yang lain. Seolah-olah tak perasan yang tindakan dia itulah yang menjadi penyebab semua turut terjatuh...

Sebenarnya ia perlu ‘stop’, ayah/ibu/orang dewasa/bos/abang atau sesiapa sahaja mesti stop daripada turut menjadi pembuli. Untuk ‘stop’ ia perlukan kekuatan, kekuatan perlukan pendidikan kerana dengan pendidikanlah ia mampu dihentikan.
 
Soalnya, di mana kita boleh dapatkan pendidikan tersebut.

Klik link di bawah. Ada 15 tips mahal membina jiwa kental sebagai seseorang yang dirungkai dalam lebih 300+ mukasurat buku digital FULL COLOUR.

Pembulian mesti dihentikan.

Selamat menuntut kawan-kawan!



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan